Sejarah Bahasa Arab
Bahasa Arab menduduki tempat kelima selepas Mandarin, Spanish, English dan Urdu yang mencatatkan sebanyak 246 juta orang penutur seluruh dunia termasuk yang menggunakannya sebagai bahasa kedua (Ethnologue, 1999). Bahasa Arab adalah lingua franca bagi seluruh negara-negara Arab iaitu Arab Saudi, Mesir, Sudan, Libya, Jordan dan Iraq serta negara-negara yang terletak di Afrika Utara yang meliputi Maghribi, Tunisia dan Alegria. Ia juga merupakan bahasa minoriti yang dituturkan di negara Iran, Nigeria dan Soviet Onion. Republik Chad yang terletak di Afrika Tengah merupakan contoh negara bukan Arab yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa utama.
Kajian sejarah menunjukkan bahawa bahasa Arab sebelum dan selepas kedatangan Islam tidak jauh bezanya kerana ia hampir sama sebagaimana yang dituturkan oleh orang-orang Ibri, Habasyi, Aramiyyah dan selainnya . Al-quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad pada 1400 tahun lalu merupakan pembuka jalan bagi perkembangan dan kemajuan bahasa Arab ke seluruh dunia. Kandungan dan olahan ayat dalam Al quran tidak dapat ditandingi oleh bahasa-bahasa lain sehingga kini. Para pengkaji bahasa dan lingusitik Arab menyatakan bahasa Arab berasal dari bahasa Semit (dikenali sebagai SEM dalam bahasa Ibri) dan ini ditegaskan lagi oleh para pengkaji linguistik bahawa penggunaan bahasa Arab mungkin merupakan bahasa terawal yang dituturkan dalam bahasa Arab kuno oleh orang-orang Samiyyah (al- 'arabiyyah al-qadimah)
Sejarah perkembangan bahasa Arab di Malaysia dapat dilihat pada era sebelum merdeka dan selepas merdeka. Jika sebelum merdeka, tanah Melayu dikuasai penjajah dan sistem pendidikan secara tidak formal hanya berlaku di pondok-pondok yang diajar oleh penduduk tempatan ataupun para mubaligh Arab. Pada dasarnya sistem pendidikan tidak formal ini adalah untuk menyampaikan ajaran Islam dan membolehkan masyarakat pada masa itu membaca Al-quran.
Usaha penubuhan pondok telah giat dilakukan oleh para ulama Melayu yang telah pulang dari menuntut ilmu agama di Timur Tengah dan pusat pendidikan tempatan. Pengajian pondok bergantung terus kepada kebolehan seseorang guru atau ulama (Koharuddin Mohd Balwi 2004). Pengajian pondok telah mendapat sambutan yang baik di kalangan penduduk setempat. Hal ini dapat dibuktikan di Kelantan apabila perkembangan pesat pendidikan pondok berlaku mulai awal kurun ke 20 dengan penubuhan pusat pendidikan pondok yang terkenal seperti Pondok Tok Selihur, Pondok Tok Bachok, Pondok Pasir Tumboh, Pondok Sungai Durian dan sebagainya. Pengajian pondok di Kelantan dipelopori oleh ulama yang terkenal yang kembali dari Mekah dan amat disanjung oleh masyarakat Kelantan pada masa itu. Ulama-ulama Kelantan di Kota Bharu mengajar ilmu tasawuf, feqah, usuluddin dan cabang-cabang ilmu linguistik. Antara mereka yang terkenal itu ialah Haji Abdul Samad Muhd. Salleh, Haji Wan Ali Abdul Rahman Khutam dan Haji Yaakob Abdul Halim .
Perubahan dan perkembangan dalam sistem pendidikan agama di Timur Tengah pada ketika itu telah menyebabkan berlakunya gerakan pembaharuan dalam sistem pendidikan pondok di Tanah Melayu. Sistem madrasah yang lebih sistematik dan formal telah berjaya menggantikan sistem pendidikan pondok. Sistem madrasah tidak hanya tertumpu kepada mata pelajaran agama semata-mata tetapi memasukkan mata pelajaran penting yang lain seperti ilmu hisab, ilmu alam dan lain-lain. Madrasah al-Maisriyah yang terletak di Bukit Mertajam, Seberang Perai merupakan madrasah pertama di Tanah Melayu yang didirikan oleh Syed Sheikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Abdullah Maghribi pada tahun 1906. Sistem pendidikan madrasah perkembang pesat di Tanah Melayu dan Johor merupakan antara negeri yang menubuhkan madrasah secara sistematik. Sejak pertengahan abad ke-19, sistem pendidikan agama Johor adalah lebih kemas dari segi pentadbirannya dengan tertubuhnya Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor pada tahun 1885. Pendidikan formal berlaku apabila Madrasah Al-Attas, Johor Bharu ditubuhkan pada tahun 1913 seterusnya Sekolah Al-Quran pada tahun 1920.
Institusi madrasah terus mencapai kegemilangan di saat Tanah Melayu menghampiri kemerdekaan. Sistem pembelajaran dan silibus semakin teratur dan berkesan serta mudah diterima oleh masyarakat. Revolusi pembelajaran bahasa Arab makin pesat berlaku selepas kemerdekaan apabila tampuk pemerintahan negara dipegang bangsa Melayu sendiri yang majoritinya beragama Islam. Secara tidak langsung, rasa tanggungjawab terhadap agama memungkinkan pengajaran bahasa Arab berkembang dengan lebih pesat di bumi Malaysia. (Zainur Rijal Abdul Razak 2007). Penubuhan Kolej Islam Malaya pada 1374H/ 1955M yang didirikan di atas sebidang tanah seluas 14.3 ekar yang terletak di Jalan Kota Raja kira- kira setengah kilometer dari Bandar Klang merupakan tititk tolak perkembangan pendidikan Islam secara formal di Tanah Melayu .
Penubuhan Kolej Islam Malaya bermula dari keprihatinan Almarhum Sultan Hishamuddin Ibni Almarhum Sultan Sulaiman mewakafkan istana baginda dan menaruh harapan besar untuk melahirkan ramai cendekiawan Islam yang dapat mengembangkan lagi ajaran Islam kepada semua rakyat. Kini, Kolej Islam Malaya telah berkembang pesat sejajar dengan harapan baginda dan telah menukar nama kepada Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Pasca kemerdekaan Negara telah menyorot perkembangan bahasa Arab yang begitu membanggakan di KISAS apabila buat pertama kalinya, Menteri Pelajaran pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamed memperkenalkan subjek bahasa Arab secara rasmi pada 1977 dengan meletakkan KISAS sebagai induknya. Pembelajaran bahasa Arab berkembang di peringkat pengajian tinggi apabila beberapa universiti terawal Negara seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) menawarkan bidang pengajian Islam dan bahasa Arab. Secara dasarnya, penawaran bidang pengajian Islam dan bahasa Arab ini adalah untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam yang dapat menjadi pelapis kepada perkembangan Islam.